Tips Masakan Si Cilik & Media

Alhamdulillah, pada tanggal 29hb Disember 2010, artikel bertajuk “Asuh Tabiat Makan Sejak Kecil: Ajar Makan Sayur” telah diterbitkan oleh akhbar Harian Metro , hasil nukilan kreatif Cik Siti.

Jutaan terima kasih atas sokongan para pembaca yang budiman :-D Saya amat menghargai jasa baik Cik/Cik Puan/Tuan.

Ta daaaaa  :-D


29hb September 2010!

Tadaaa :-D
Alhamdulillah~

Artikel menarik: Ajar Makan Sayur – Asuh Tabiat Makan Sejak Kecil ^___^

Permata hati saya dan suami tersayang >w<
SUSHI…makanan Jepun seperti sushi yang dihasilkan sendiri sangat bagus untuk kesihatan anak kerana mengandungi semua zat diperlukan tubuh.

Masakan istimewa untuk keluarga saya ^_-

Tips masakan, ikhlas daripada saya ^-^

Berikut adalah keratan artikel daripada Harian Metro (versi online) , untuk rujukan Cik/Cik Puan/Tuan:

Ada juga anak terpengaruh dengan sifat ibu bapa yang tidak menggemari sayuran atau pengalaman ibu bapa ketika kecil sehingga terbawa dalam proses membesarkan anak.

Bagi ibu muda kepada empat cahaya mata, Hafiza Abdul Rahman, 25, ketika kecil dia langsung tidak boleh menjamah sayuran melainkan kacang panjang dan timun saja. Sifat ini terbawa hingga dia melahirkan anak pertama.

Menyedari tabiat makanan yang kurang sihat, ibu mentua memberikan tunjuk ajar kepadanya bagaimana menyediakan hidangan sayuran yang enak.

“Sejak itu saya sudah boleh makan semua sayuran. Saya mula merasai keenakannya apatah lagi sayuran dimasak dengan cara berbeza. Lebih memberikan semangat kepada saya apabila tidak mahu anak terikut-ikut dengan cara saya yang dahulunya bukan penggemar sayur,” katanya.

Menurut Hafiza, ibu bapa harus memberikan yang terbaik buat anak mereka sejak hari pertama dilahirkan ke dunia iaitu melalui susu ibu. Kemudian, tabiat pemakanan yang baik perlu diasuh daripada usia muda dengan ibu bapa menjadi model utama. Ini kerana jika anak kecil mendapat makanan berkhasiat, mereka akan mendapat kualiti tidur yang baik serta perilaku peribadi yang lebih teratur.

Menerusi pembacaan, dia mendapati perubahan pencapaian unggul atlet Korea Selatan dan Jepun di mata dunia setelah pihak kerajaan membuat perubahan dalam menu harian makanan yang disajikan sejak berpuluh tahun lalu. Mereka membuat kesimpulan kesihatan yang baik semuanya berpunca daripada minda positif dan menu makanan sihat terancang.

“Ada pepatah mengatakan “Anda adalah apa yang anda makan”. Justeru untuk menjadi generasi cemerlang, berpendidikan dan berjaya, ibu bapa hari ini harus mengambil berat menu makanan harian anak supaya memberikan makanan berkhasiat saja,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa diingatkan supaya tidak memberi komen negatif berkenaan makanan yang dihidangkan dan sentiasa bersyukur dan berterima kasih atas rezeki yang dikurniakan. Ini dilakukan dengan sentiasa memberi peringatan melalui penceritaan mengenai kesukaran mendapatkan makanan terutama keperitan ketika zaman penjajahan Jepun supaya si kecil tidak membazir makanan.

Menurut Hafiza, seawal usia setahun atau ketika anak sudah boleh memegang makanan adalah tempoh paling sesuai untuk memperkenalkan anak kecil kepada kepentingan sayuran dengan memberi contoh terbaik kepada mereka.

Pastikan sayuran dipotong menjadi ukuran kecil atau sederhana untuk mengelak anak tercekik, dimasak dengan betul dan empuk. Sayuran direbus atau stim menggunakan air rebusan daging kambing, ayam, ikan atau ikan bilis supaya keenakan lebih terasa.

Untuk anak berusia 30 bulan ke atas, boleh menggunakan kaedah menggoreng ketika memasak sayur campur.

“Anak saya diberi makan tiga sayuran asas sebagai sarapan iaitu brokoli, lobak merah dan kentang yang direbus atau dikukus.

“Sayuran ini diberi sejak mereka mula belajar memegang objek dengan tangan kecil. Selepas itu saya pelbagaikan rasanya dengan menambah sos pencecah seperti sos buahan dan sos khas seperti sup krim cendawan serta beberapa jenis sos termasuk sos perang, putih, keju atau tomato segar,” katanya.

Hafiza berkata, untuk melazatkan hidangan, dia mencampurkan satu sudu besar tepung jagung yang dilarutkan ke dalam satu pertiga cawan air bersama kuantiti garam bukit atau boleh menggantikannya dengan sos perang, sos putih atau satu pertiga cawan air rebusan daging kambing, ayam, ikan atau ikan bilis.

Namun menurutnya, dia suka menambahkan sedikit serbuk bawang putih ke dalam masakan sayuran kerana bau yang harum serta menggunakan hirisan bawang Holland untuk memasak hidangan kerana rasanya yang manis dan senang dimakan anak-anak.

Bawang ini bukan hanya digunakan sebagai hiasan tetapi nutrisinya memberi manfaat kerana kandungan vitamin serta protein yang banyak berbanding sayuran lain.

Ketika memasak, kurangkan penggunaan gula, garam dan bahan berlemak, begitu juga dengan makanan ringan, snek atau mengumpan kejayaan anak dengan gula kerana ini amat berbahaya dan hanya jalan singkat.

“Pengambilan gula, garam serta bahan berlemak keterlaluan akan menyebabkan anak mendapat obesiti pada usia muda seperti yang banyak berlaku sekarang,” katanya.

Paling penting, ibu harus memasak sayur-sayuran dengan sempurna. Sayuran yang tidak masak akan terbit bau yang kurang menyenangkan manakala jika terlebih masak, sayuran menjadi layu dan tidak segar. Jadi, ketika memasak ibu diingatkan supaya memberi perhatian supaya sayuran digaul berterusan.

Bagi ibu bekerja, mereka diingatkan supaya mengambil masa khas setiap minggu bagi mengatur menu yang perlu disediakan agar dapat mempelbagaikan masakan buat si kecil supaya mereka dapat mengenali hidangan serata dunia.

Ini dapat menambah rasa ingin tahu, menambah kepekaan deria rasa si kecil dan minat untuk mencuba masakan pelbagai jenis serta menghormati hidangan pelbagai kaum dan budaya.

“Ini sangat penting supaya anak tidak jemu kepada hidangan yang sama setiap hari. Selain itu, mereka boleh mempelajari sesuatu yang baru mengenai masakan dan sentiasa memberikan soalan kepada ibu bapa,” katanya.

Bagi menarik perhatian anak menikmati hidangan, gunakan peralatan masakan bersesuaian mengikut peringkat umur dan hidangkan dalam pinggan, mangkuk, sudu dan garfu yang memikat hati. Ini bagi memastikan anak selesa menggunakannya dan tidak jemu belajar untuk menghargai makanan.

“Sifat kanak-kanak sukakan barang berwarna-warni justeru ibu bapa harus mengambil kesempatan dengan membelikan peralatan makanan yang menarik, ceria dan memenuhi cita rasa mereka.

“Jika boleh biarkan mereka memilih sendiri pinggan, cawan dan sudu yang akan mereka gunakan ketika makan. Jika ibu berusaha mendapatkan pinggan mahal dan berjenama, apa salahnya sekiranya anda membelikan peralatan makanan mengikut cita rasa anak,” jelas Hafiza.

Paling penting, ramai ibu terlupa untuk sentiasa berdoa supaya dipermudahkan urusan oleh Allah setiap kali ke dapur bagi menyediakan hidangan untuk keluarga.

Sebagai orang Islam kita digalakkan mengamalkan zikir serta selawat ke atas Nabi Muhammad saw ketika mengupas, membasuh, memotong dan memasak sayuran atau hidangan lain. Niat memasak untuk yang terbaik dan berkhasiat buat keluarga tercinta pasti mendapat keberkatan-Nya.

“Sehingga ke hari ini, air mata saya pasti bergenang. Ini kerana setiap kali selesai membaca doa makan dan menghidangkan makanan, anak tersayang pasti mengambil inisiatif untuk mengingatkan sesama sendiri betapa bersyukur mereka dengan masakan yang sudah saya sediakan dan dibelikan oleh ayahnya,” katanya yang ingin berkongsi panduan masakan si kecil menerusi laman sesawang Littlekittle.com dalam kategori My Healthy Kitchen.

Tip hidangan untuk si kecil:
1. Hiasi waktu makan bersama anak-anak dengan membaca doa makan, bercerita mengenai makanan yang disajikan bersama trivia dan cerita sejarah nabi, sahabat atau kisah teladan pendek namun diolah dalam bentuk ceria.

2. Hidangkan makanan dalam tujuh warna pelangi dan dihias seperti dimasak chef terkemuka. Setiap ibu adalah chef istimewa untuk keluarga tersayang.

3. Gunakan bahan masakan semula jadi, segar serta mengandungi vitamin, serat dan kalsium. Di samping itu, galakkan anak kecil minum minuman mineral, susu soya dan susu segar serta jus dalam menu harian. Cara menambat hati anak untuk menggemari sayur, dipaparkan di sini: http://mamafiza.com/2010/06/09/petua-masakan-sayuran-hijau-penambat-hati-suami-anak/

4. Bimbing anak kecil untuk membantu memasak, membasuh pinggan, mengemas meja makan dan menghidangkan makanan bersama.Nyatakan pada si anak bahawa dahulukan yang kecil, warga tua dan ibu yang sedang mengandung sewaktu mengagihkan makanan.

5. Terapkan jadual harian pemakanan sihat kepada anak sejak kecil. Utamakan sayuran dan buahan. Buat senarai menu berdasarkan kualiti dan bukan kuantiti. Masakan daripada tangan ibu yang penuh kasih sayang jauh bezanya daripada masakan di restoran.

6. Antara buku yang baik untuk mengajar anak menikmati sayuran ialah Green Eggs and Ham karya Dr Seuss dan Totto-chan, The Little Girl at the Window, karya ulung Tetsuko Kuroyanagi yang ada menceritakan cara Tuan Sosaku Kobayashi mendidik anak muridnya supaya menghargai makanan.

——————————————————–

Berikut adalah keratan artikel daripada Harian Metro (versi online) , untuk rujukan Cik/Cik Puan/Tuan:

Ta daaaaa :-D


Debaran terasa ^-^


19hb Januari 2011!

Tadaaa :-D
Alhamdulillah~

>w<

Jutaan terima kasih buat Cik Yus: sahabat sejati saya & keluarganya yang paling istimewa dalam hidup kami kerana sudi menaja tempat bagi sesi fotografi ini, kami amat menghargainya seumur hidup T-T

Artikel istimewa daripada Cik Siti: Jaga Pemakanan Si Kecil ^___^

Hati: Jaga Pemakanan Si Kecil

Oleh Siti Zarinah Sahib

Jika anda biasa menggunakan bahan masakan yang sama untuk menu harian si kecil apa kata mulai sekarang ubah resipi makanan sihat dengan menggunakan lima bahan utama iaitu minyak zaitun tulen, daging kambing, keju, plum tomato dan bawang Holland.

Ini kerana semua bahan itu mempunyai nilai khasiat sangat tinggi terutama untuk tumbesaran kanak-kanak. Menurut pengkaji sains dalam bidang perubatan minyak zaitun bertindak mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi penawar racun dengan bertindak menyingkirkan cacing di dalam perut manakala dalam bidang sains pemakanan, minyak zaitun mengandungi asid lemak tidak tepu yang berupaya merendahkan kolesterol berbahaya dalam darah serta mengurangkan risiko kanser payudara.

Selain itu salah tanggapan yang mengatakan daging kambing mempunyai kandungan lemak tepu dan kolesterol yang tinggi seharusnya diperbetulkan.

Ini kerana kajian Persatuan Jantung Amerika menyarankan, daging kambing diambil untuk mereka yang mempunyai masalah jantung kerana daging kambing mempunyai kualiti protein yang tinggi dengan nisbah kandungan lemak yang sihat.

Tambahan pula, struktur molekul daging kambing sangat berbeza dan hasilnya daging kambing lebih mudah dihadam, mengandungi zat besi dan kandungan potasium yang rendah kandungan mineralnya.

Dagingnya lebih pejal dan lebih rendah kalori daripada daging lembu dan ayam tanpa kulit. Semua asid amino yang diperlukan ada di dalam daging kambing tanpa sebarang hormon, bahan kimia dan pencemaran bakteria.

Bagi menambah khasiat dalam masakan sebaiknya para ibu menggunakan bawang Holland atau dikenali sebagai bawang kuning atau bawang Bombay. Bawang Bombay (Allium cepa L) memiliki kandungan kromium yang baik. Komponen sulfur pada bawang Holland adalah dalam bentuk allyl propyl disulphid dan mempunyai peranan penting dalam menurunkan glukosa darah bagi pesakit diabetes, baik untuk mencegah serangan jantung dan strok serta mengandungi vitamin B6 untuk menurunkan kadar homosistein dalam darah. Rasanya pula lebih manis dan segar.

Menurut penulis buku Hidangan Si Cilik, Hafiza Abdul Rahman yang baru saja dipasarkan 21 Disember 2010 lalu, semua bahan di atas adalah bahan utama yang digunakan dalam setiap resipi hidangannya. Selain mudah diperoleh ramai ibu bapa tidak tahu khasiat di sebalik bahan-bahan ini yang sering kali digunakan dalam masakan Barat. Misalnya kandungan kalsium dalam keju sesuai untuk kanak-kanak. Selain dapat melindungi gigi daripada karies dan kerosakan gigi, keju mempunyai sumber protein yang baik serta vitamin A, D dan B12 yang tinggi. Keju boleh menambahkan tenaga si kecil agar bermaya serta menjaga kesihatan tulang anak anda.

“Sebab itu di Barat keju sentiasa menjadi pilihan utama dalam masakan mereka manakala di Jepun satu kajian dijalankan mengenai kejayaan atlet mereka yang ada kaitan dengan jenis makanan diambil. Justeru saya berharap dengan penghasilan resipi ini anak-anak terutamanya Melayu diperkenalkan dengan hidangan seharian yang dapat menjana generasi kanak-kanak yang sihat, cerdas, pintar dan berperibadi mulia. Bagi memastikan jadual pemakanan anak teratur dan dipantau dengan serius bermula sejak kecil lagi. Ini kerana setiap bahan yang digunakan dalam masakan memberi impak terbesar pada tumbesaran mental dan fizikal anak-anak seperti kata pepatah anda adalah apa yang anda makan,” katanya.

Sebab itu menurut Hafiza buku resipi ini memuatkan pilihan menu masakan sihat dan mudah gaya Malaysia untuk seantero dunia. Menggabungkan bukan saja masakan Malaysia malah negara jiran Indonesia, Jepun, China, Barat, Sepanyol, Itali dan Mexico.

Senarai 45 resipi yang dimuatkan di dalam buku ini adalah antara koleksi peribadi Hafiza yang direka khusus untuk anak-anaknya sebaik saja anak sulungnya Kirua Hakimy,6, tamat tempoh penyusuan susu ibu pada usia 30 bulan.

“Dalam tempoh itu saya membuat pembaharuan pada setiap resipi yang dimasak untuk anak kedua Ashyekin Rei Hikaru, 4, Afiqah Yunaru, 3, dan anak keempat Adany Aurora Hydeaki, 2, sehingga berjaya mengumpul lebih 300 resipi sihat. Lebih penting semua resipi yang terdapat di dalam buku ini bukan saja boleh disediakan untuk kanak-kanak, malah boleh disajikan untuk seisi keluarga kerana telah diubah suai berdasarkan menu khas keluarga serta sesuai dinikmati si kecil,” katanya.

Hafiza memberitahu dia sengaja menggunakan tajuk yang agak ‘bombastik’ bagi setiap resipi seperti Antalogi Cinta, Bebola Bestari Veld, Gala Granola, Kentang Keju Kenari, Kepingan Panasea, Piza Mini Pesona, Roti Kekacang Kasih, Sandwic Santapan Emas, Sandwic Takhta dan Telur Taj Keju untuk resipi sarapan pagi manakala untuk makan malam nama-nama seperti Fiesta Fajitas, Gulungan Gaelic Keju, Idaman Istimewa, Lagun Lasagna, Nasi Mentega Mimosa, Salmon dan Lemon, Teriyaki Samudera, Tofu Tuah, Tortilla Tango dan Udang Manis Mentega Bawang Putih diambil bagi memberi impak segar kepada pembaca serta memberi galakan kepada ibu bapa atau penjaga mengambil masa meneliti di dalam kamus bagi menerokai makna perkataan dipilih di samping mengajar perkataan baru kepada anak-anak.

Hafiza memberitahu dia sengaja menggunakan tajuk yang agak ‘bombastik’ bagi setiap resipi seperti Antalogi Cinta, Bebola Bestari Veld, Gala Granola, Kentang Keju Kenari, Kepingan Panasea, Piza Mini Pesona, Roti Kekacang Kasih, Sandwic Santapan Emas, Sandwic Takhta dan Telur Taj Keju untuk resipi sarapan pagi manakala untuk makan malam nama-nama seperti Fiesta Fajitas, Gulungan Gaelic Keju, Idaman Istimewa, Lagun Lasagna, Nasi Mentega Mimosa, Salmon dan Lemon, Teriyaki Samudera, Tofu Tuah, Tortilla Tango dan Udang Manis Mentega Bawang Putih diambil bagi memberi impak segar kepada pembaca serta memberi galakan kepada ibu bapa atau penjaga mengambil masa meneliti di dalam kamus bagi menerokai makna perkataan dipilih di samping mengajar perkataan baru kepada anak-anak.

“Saya percaya tiada jalan pintas untuk berjaya dalam mendidik anak kecil dan mahu kanak-kanak diasuh sebaiknya kerana yakin anak adalah anugerah yang cukup berharga,” katanya.

Selain sarapan dan makan malam, buku ini turut menyajikan resipi makan tengah hari, pencuci mulut serta makanan ringan.

Hafiza yang dikenali sebagai isteri, ibu, penceramah bebas, pereka laman web dan pejuang pendidikan anak di rumah sejak kecil diberikan pendedahan mengenai menu sihat oleh keluarga. Ibu bapa Hafiza amat mementingkan makanan sihat bagi setiap anak-anaknya sama ada ketika susah atau senang manakala neneknya rajin melayan Hafiza dengan mencuba resipi baru yang diambil daripada keratan majalah dan buku. Nilai istimewa inilah membuatkan Hafiza belajar untuk menghargai setiap suapan makanan dan masakan yang dihasilkan ahli keluarganya.

Ini tidak berhenti di situ saja setelah berkahwin, ibu mentua Hafiza mengambil alih tugas dengan memberi tunjuk ajar di dapur manakala suami Mohd Azhar Mohd Zahir, 26, memperkenalkannya dengan dunia masakan daripada pelbagai negara.

“Oleh kerana tertarik dengan cara masakan yang disediakan suami, saya menyatakan hasrat untuk belajar memasak dengannya. Alhamdulillah, hasil tunjuk ajar selepas setahun berlatih memasak saya berjaya menyediakan masakan sihat pelbagai rasa serta mencipta beberapa resipi untuk keluarga,” katanya.

“Oleh kerana tertarik dengan cara masakan yang disediakan suami, saya menyatakan hasrat untuk belajar memasak dengannya. Alhamdulillah, hasil tunjuk ajar selepas setahun berlatih memasak saya berjaya menyediakan masakan sihat pelbagai rasa serta mencipta beberapa resipi untuk keluarga,” katanya.

Menurut Hafiza minat menyelami dunia masakan serta menghasilkan buku resipi ini tidak akan terhasil tanpa sokongan suami. Dia menyediakan peralatan memasak yang sesuai, menghadiahkan buku masakan dari dalam dan luar negara serta menonton rancangan masakan bersama bagi mempelajari tip memasak dan resipi terkini yang dapat menjimatkan masa.

Tambahnya lagi buku Hidangan Si Cilik bukanlah buku masakan tipikal, sebaliknya gabungan resipi, menu sihat dan info berunsur pendidikan untuk kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun. Buku ini mengandungi 45 koleksi resipi yang dicipta khusus untuk menarik cita rasa si kecil. Mengandungi seratus-peratus muka surat berwarna-warni bersama senarai peralatan dan keperluan memasak. Setiap resipi mengandungi empat gambar langkah-langkah memasak bersama satu hidangan yang sudah siap dimasak.

Menariknya setiap resipi didatangkan bersama ruangan Trivia Istimewa untuk ibu bapa, Tip Comel dan Fakta Ceria untuk kanak-kanak sebagai panduan bercerita ketika makan bagi menarik minat si cilik menghadam makanan yang disuap. Bukan itu saja juga dilengkapi Jadual Pemakanan Menu Sihat untuk tempoh tujuh hari serta dua aktiviti bonus yang dapat dilakukan bersama si cilik iaitu aktiviti sains dan kraftangan.

Jika pembaca mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan dengan resipi di dalam buku Hidangan Si Cilik boleh melayari laman sesawang http://mamafiza.com/cetusan-karya/pertanyaan-resipi/.

INFO BUKU

Tajuk: Hidangan Si Cilik
Penulis: Hafiza Abdul Rahman atau dikenali sebagai Mamafiza
Harga: RM 14.90 (Semenanjung Malaysia) / RM 16.90 (Sabah dan Sarawak)
Tarikh Terbit: 21 Dec 2010
Jumlah Muka Surat: 96
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd
Maklumat Lanjut: http://pts.com.my/index.php/buku/hidangan-si-cilik/

——————————————————–

Malaysia Hari Ini: Hidangan Si Cilik

Nota: Tolong klik link ini jika video diatas tidak dapat dilayari. Terima kasih.

Alhamdulillah, keluaran kali ke-4 siaran televisyen melalui sokongan media elektronik buat LittleKittle.com, syukur ke hadrat-Nya :-D

——————————————————–

Berikut adalah keratan artikel daripada Berita Harian(versi online) , untuk rujukan Cik/Cik Puan/Tuan:


Mengujakan!!!


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!
Yippie >O<


Gembira, terlalu gembira! ^_______^


Artikel yang tulus ikhlas ;)


Alhamdulillah, Alhamdulillah!

Ratu: Anak Tak Mahu Makan – Mamafiza Perkenal 45 Resipi Menarik

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Penyediaan menu sihat dan lengkap dengan segala zat khasiat diperlukan untuk tumbesaran anak yang berusia dua tahun hingga enam tahun adalah penting.

Kebanyakan ibu menyedari hal ini, namun acap kali ada yang merungut atau kehilangan idea bagi menyediakan makanan sesuai serta digemari anak mereka. Lebih memeningkan kepala, anak tidak mahu makanan disediakan.

Tidak kurang juga yang memberi alasan, menyediakan makanan yang sihat dan sedap bukannya mudah kerana perlu mengambil masa lama di dapur, sedangkan, kebanyakan ibu pada masa kini setiap hari perlu memburu masa untuk pergi ke kerja.

Penulis buku Hidangan Si Cilik, Hafiza Abdul Rahman, 26, berkata menyediakan makanan yang sihat dan seimbang untuk si kecil sebenarnya tidaklah sukar, malah dengan menggunakan bahan ringkas serta mudah diperoleh, pelbagai menu hidangan menarik boleh disediakan.

Bagaimanapun, katanya, ibu perlu kreatif dan berani mencuba menghasilkan menu baru dalam usaha memastikan anak suka makanan disediakan, di samping dapat menikmati hidangan yang mengandungi zat lengkap bagi tumbesaran mereka.

Dalam bukunya Hidangan Si Cilik, Hafiza yang lebih disenangi sebagai Mamafiza, memberi pelbagai panduan untuk si ibu menyediakan hidangan menarik buat anak. Selain 45 resipi, buku itu juga memaparkan panduan untuk ibu bapa cara menarik minat si kecil untuk makan dan jadual pemakanan menu sihat untuk kanak-kanak.
Resipi Hafiza menggunakan pelbagai bahan, termasuk bahan yang mungkin bagi kita selama ini perlu dijauhi seperti daging kambing. Sajian beliau menggunakan minyak zaitun tulen yang mempunyai nilai tinggi dan sudah diiktiraf khasiatnya, termasuk bertindak sebagai penambah zat makanan serta mengandungi asid lemak tidak tepu dan dikelaskan oleh pakar sains pemakanan sebagai bahan kandungan yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya dalam darah.

Beliau turut mengesyorkan penggunaan daging kambing, keju, plum tomato dan bawang Holland dalam sajian makanan si kecil.

“Sering terdapat salah tanggapan bahawa daging kambing mempunyai kandungan lemak tepu dan kolesterol yang tinggi, oleh itu ia dianggap tidak sihat untuk jantung manusia. Namun, kajian Persatuan Jantung Amerika menyebut daging kambing sesuai untuk mereka bermasalah berkaitan jantung kerana daging kambing mempunyai kualiti protein yang tinggi dengan nisbah kandungan lemak sihat. Daging kambing juga mengandungi zat besi dan mudah dihadam, ini sesuai untuk kanak-kanak.

“Bagi keju pula kebanyakan kanak-kanak memang menyukainya. Kandungan kalsium keju yang tinggi, baik dan memang diperlukan untuk kanak-kanak sedang membesar. Kajian turut mendapati mengambil keju dapat melindungi gigi anak-anak. Selain mempunyai sumber protein yang baik, keju juga sumber pelbagai vitamin dan boleh menambahkan tenaga supaya bermaya serta menjaga kesihatan tulang anak,” katanya yang membuat pembacaan mengenai sumber khasiat sesuatu bahan sebelum mencipta resipi.

Begitu juga plum tomato dan bawang Holland atau lebih dikenali sebagai bawang kuning (bawang Bombay) kata Hafiza. Kedua-dua bahan berkenaan mempunyai beberapa khasiat yang memberikan kebaikan kepada kesihatan kepada orang dewasa mahu pun kanak-kanak.

Katanya, tomato yang berwarna mengandungi bahan antioksida licopene dan yang menariknya, tomato diproses turut memiliki khasiat sama seperti buah segar manakala bawang Holland memiliki kandungan kromium yang baik dan berperanan penting dalam menurunkan glukosa darah bagi pesakit diabetes.

“Bahan berkenaan khususnya keju, sering kali digunakan dalam masakan Barat. Tetapi yang paling penting, selain memberikan manfaat untuk kesihatan semua bahan itu mudah diperoleh dan ini menyenangkan ibu untuk menyediakan makanan,” katanya.

Tambahnya, adalah penting ibu bapa memantau dengan serius corak pemakanan anak dan ia mestilah bermula sejak kecil lagi. Ini kerana setiap bahan yang digunakan dalam masakan memberi impak terbesar pada tumbesaran mental dan fizikal anak.

Ibu muda yang turut dikenali sebagai penceramah bebas, pereka laman web dan pejuang pendidikan anak di rumah sejak kecil memberitahu, sejak dulu ibu bapanya amat mementingkan makanan sihat bagi setiap anak-anak sama ada ketika susah atau senang manakala neneknya rajin melayan dengan mencuba resipi baru yang diambil daripada keratan majalah dan buku.

Hafiza berkata, nilai istimewa itulah membuatkannya belajar untuk menghargai setiap suapan makanan dan masakan yang dihasilkan ahli keluarganya. Apabila berkahwin, suami Mohd Azhar Mohd Zahir, 26, pula sering memperkenalkannya dengan dunia masakan dari pelbagai negara. Justeru, tidak hairanlah kebanyakan resipi yang dikongsikan menggabungkan pelbagai negara.

Katanya, resipi diperkenalkan menggabungkan masakan merangkumi negara jiran Indonesia, Jepun, China, Barat, Sepanyol, Itali dan Mexico. Kelainan yang dicetuskan itu bukan saja memperlihatkan buku resipi berkenaan memuatkan pilihan menu masakan sihat tetapi mudah disediakan mengikut gaya Malaysia untuk seantero dunia.

Senarai 45 resipi yang dimuatkan dalam buku ini adalah antara koleksi peribadi Hafiza yang direka khusus untuk anak-anaknya sebaik saja anak sulungnya, Kirua Hakimy, 6, tamat tempoh penyusuan susu ibu pada usia 30 bulan.

Katanya, pembaharuan pada setiap resipi dibuat untuk anak kedua, Ashyekin Rei Hikaru, 4; ketiga, Afiqah Yunaru, 3, dan anak keempat, Adany Aurora Hydeaki, 2, sehingga berjaya mengumpul lebih 300 resipi sihat.

“Namun, yang lebih penting semua resipi di dalam buku ini bukan saja boleh disediakan untuk kanak-kanak, malah boleh disajikan untuk seisi keluarga,” katanya.

Hafiza memberitahu, beliau sengaja menggunakan tajuk yang agak ‘bombastik’ setiap resipinya bagi memberi impak segar kepada pembaca serta memberi galakan kepada ibu bapa atau penjaga mengambil masa meneliti di dalam kamus bagi menerokai makna perkataan dipilih di samping mengajar perkataan baru kepada anak-anak.

Untuk sarapan pagi, Hafiza menyediakan Antalogi Cinta, Bebola Bestari Veld, Gala Granola, Kentang Keju Kenari, Kepingan Panasea, Piza Mini Pesona, Roti Kekacang Kasih, Sandwic Santapan Emas, Sandwic Takhta dan Telur Taj Keju.

Untuk makan malam, Fiesta Fajitas, Gulungan Gaelic Keju, Idaman Istimewa, Lagun Lasagna, Nasi Mentega Mimosa, Salmon dan Lemon, Teriyaki Samudera, Tofu Tuah, Tortilla Tango dan Udang Manis Mentega Bawang Putih. Selain sarapan dan makan malam, buku ini turut menyajikan resipi makan tengah hari, pencuci mulut serta makanan ringan.

“Antara resipi kegemaran saya dan anak-anak ialah Lagun Lasagna dan Tortilla Tango. Bagi Lagun Lasagna bahan utama digunakan antaranya ialah keju dan isi daging kambing. Saya menggunakan keju bagi menggantikan susu kerana didapati ramai kanak-kanak tidak suka mengambil susu walaupun ia penting diambil setiap hari bagi mendapatkan khasiat kalsium. Berbanding keju, kebanyakan kanak-kanak tiada masalah untuk menyukainya.

“Tortilla Tango pula adalah makanan popular di Mexico dan ia adalah antara kebab Barat dan boleh didapati di restoran. Bagi mewujudkan hidangan sihat dan sesuatu yang di luar kebiasaan di rumah, saya perkenalkan hidangan ini. Dengan cara ini, kita dapat beritahu anak-anak, makanan yang terdapat di restoran juga boleh disediakan di rumah dan tidak sukar membuatnya,” jelas Hafiza.

Untuk maklumat lanjut, layari http://mamafiza.com/cetusan-karya/perihal-buku-hidangan-si-cilik/

MENU: Sandwic Santapan Emak

Bahan:
- 2 keping roti gandum serat tinggi
- 2 keping daging salami (ayam)
- 2 keping daging salami (daging lembu)
- 2 keping hirisan tomato
- 2 helai daun salad
- 2 keping keju cheddar
- 2 sudu makan mayonis
- 1 sudu makan mentega
- 2 sudu makan minyak zaitun (bagi menggoreng)

Cara membuat:
1. Panaskan minyak zaitun dalam kuali leper, panaskan daging salami dan terbalikkan daging itu. Angkat
dan toskan.
2. Sediakan bahan mentah, tos hirisan tomati dan salad di atas tisu dapur.
3. Bakar roti seketika dalam ketuhar apabila sudah disapukan sedikit mentega pada permukaannya.
4. Sapukan mayonis pada roti dan susun daun salad, hirisan tomato, kepingan keju dan gulungan salami.
5. Sedia dihidangkan.

——————————————————–

Berikut adalah keratan artikel daripada Utusan Malaysia (versi online – hanya separuh mesej sahaja yang dapat dibaca secara dalam talian) , untuk rujukan Cik/Cik Puan/Tuan. Artikel yang begitu mengujakan daripada jurnalis Cik Rina (Noor Fazrina Kamal) dan gambar terbaik oleh Cik Ina (Noor Azlina Jaafar):


Bagaikan mimpi!!!


Alhamdulillah, syukur kami padamu Ilahi!
Kami sekeluarga amat menyukai semua gambar ini ^-^
p/s: Kasihan si cilik HidE-cHan tidak dapat turut sama dalam sesi penggambaran ini kerana HidE menemani Sang Raja, tidak mengapa kasihku, rezeki adik di lain hari ya? Insya-Allah.


Mukasurat seterusnya. . . :-D


Pandangan sisi ;)

Artikel: “Panduan pujuk anak makan cara sihat” & “Info Buku” tidak termasuk di dalam versi online (e-News @ e-Paper)

Jutaan terima kasih pada Cik Rina & Cik Ina *tangisan bahagia*

Mega – Keluarga: Mamafiza pejuang pendidikan di rumah

Oleh Noor Fazrina Kamal
Gambar Noor Azlina Jaafar

Istilah homeschooler mungkin masih baru bagi ibu bapa di negara ini tetapi di negara seperti United Kingdom ia bukan sesuatu yang asing.

Menyedari hakikat bahawa makanan membentuk peribadi anak-anak membuatkan Hafiza Abd Rahman, 26 dan suaminya, Azhar Zahir, 26, mengambil keputusan untuk menjadi pejuang pendidikan di rumah atau homeschooler.

Lalu menerusi laman web http://www.littlekittle.com mereka meneruskan agenda murni tersebut.

Tambah menarik Hafiza yang terkenal dengan gelaran Mamafiza di kalangan pembaca blognya kini menghasilkan buku resipi istimewa untuk si cilik.

Empat cahaya mata penyeri kehidupan Hafiza dan Azhar dijadikan sebagai sumber inspirasi Hafiza untuk menghasilkan tip kepada ibu bapa lain.

Anak-anaknya juga diberi nama yang cukup unik, Kirua Hakimy, 6, Ashyekin Rei Hikaru, 4, Afiqah Yunaru, 3, dan Adany Aurora Hydeaki, 2.

“Suami saya penggemar komik anime Jepun, justeru nama anak-anak kami ditambah unsur Jepun selain dari nama Islam yang memberikan maksud yang indah,” jelas Mamafiza yang mendirikan rumah tangga pada usia muda.

Melihat kesabaran dan kematangan Mamafiza menguruskan anak-anaknya memang mengagumkan. Ibu muda ini mengambil semua perkara dengan positif dan tangani kerenah anak-anak dengan keceriaan.

Justeru, anak-anak Mamafiza tampak begitu bersopan, menghormati orang tua, ceria dan berdisiplin.

Sesi fotografi kami juga berjalan dengan lancar dan mudah dengan kerja sama dari mereka semua.

Mamafiza yang berperwatakan ceria, lahir dalam suasana institusi kekeluargaan yang rapat dan saling menyokong.

Sewaktu kecil, dia dibesarkan dengan penuh kasih dan hasil air tangan masakan nenek, datuk, moyang, ibubapa, bapa dan ibu saudara.

“Nenek dan ibu saya sangat rajin memasak, mereka tidak pernah lupa serta setia membekalkan saya dengan masakan dari rumah dan air minuman bersih (air masak) setiap hari untuk dibawa ke sekolah, iaitu sejak di usia 7 tahun hingga ke umur 17 tahun.

“Mereka sentiasa memastikan saya mendapat makanan berzat setiap hari walaupun di luar rumah. Saya juga sering dimanjakan oleh moyang dan datuk sebelah bapa yang gemar memasak hidangan tradisional.

“Ibu dan bapa juga saya amat mementingkan menu sihat bagi setiap anaknya tak kira pada waktu susah mahupun senang,” katanya.

Nilai istimewa inilah membuatkan Mamafiza belajar untuk menghargai setiap suapan makanan dan masakan yang dihasilkan oleh ahli keluarganya.

“Setelah berkahwin, ibu mertua saya tidak lokek untuk memberi tunjuk ajar di dapur dan suami saya telah memperkenalkan kepada saya dengan dunia masakan dari pelbagai negara.

“Oleh sebab tertarik dengan cara masakan yang disediakan oleh suami, saya terus menyatakan hasrat untuk belajar memasak. Alhamdulillah, hasil tunjuk ajar suami, setelah setahun berlatih dengan gigih tanpa kenal erti putus asa, saya berjaya menyediakan masakan sihat yang berbagai rasa serta mencipta beberapa resipi buat santapan keluarga,” katanya.

Minat menyelami dunia masakan ini disokong 100 peratus oleh suami dengan menyediakan peralatan memasak yang sesuai.

Di samping itu suami menghadiahkan buku masakan dari dalam dan luar negara serta bersama-sama menonton rancangan masakan bagi mempelajari tip masakan, resipi terkini dan efektif yang dapat menjimatkan masa terutama bagi yang mempunyai jadual harian yang ketat sebagai isteri, ibu, homeshooler (pejuang pendidikan di rumah), penceramah bebas dan pereka laman web yang bekerja dari rumah.

Walaupun masa senggang amat terhad dan mengutamakan amalan sesi penyusuan berganda bagi semua anak-anak, Mamafiza tetap meneruskan latihan memasak untuk keluarganya bagi memastikan setiap ahli mendapat makanan sihat dan seimbang.

“Saya berasakan sebenarnya anak kecil adalah insan yang banyak memberi ilham pada dunia orang dewasa agar dapat melihat bakat, kepintaran mental dan kecerdasan fizikal mereka pada perspektif yang berbeza.

“Yang pastinya, si comel sentiasa memerlukan limpahan kasih sayang sepenuhnya dari kita iaitu doa, ciuman, pelukan dan kata-kata perangsang dan penghargaan dari ibubapanya yang tidak dapat ditukar dengan harta mahupun masa.

“Ini adalah peringkat umur yang amat sesuai untuk memupuk minat kepada sesuatu makanan dan tabiat pemakanan yang seimbang perlu dititikberatkan sejak awal lagi,” ujar Mamafiza mengakhiri bicara.

——————————————————–

Berikut adalah keratan artikel daripada Berita Harian (versi online) , untuk rujukan Cik/Cik Puan/Tuan:


Alhamdulillah, keluaran kali ke-11 terbitan melalui sokongan media cetak buat LittleKittle.com, segala puji bagi-Nya :-D


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!
Penuh T-E-R-U-J-A >_<


YunaFi-cHan dan KiruaMi-cHan >w<


Gabungan Tim Si Cilik ;)
Hi, Ho untuk ReiHi-cHan da adik HidE-cHan~


Alhamdulillah, rezeki anakanda kami :-D Alhamdulillah!
Artikel ini adalah dedikasi khas buat si manja yang sangat memilih makanan seharian (little fussy eater) ^_-

Ratu: Kikis Sikap Cerewet Si Kecil

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Fahami tabiat, kehendak makan anak

Betulkah kebanyakan si kecil hari ini lebih cerewet daripada orang dewasa dalam memilih makanan? Walaupun si ibu menyediakan masakan yang masak sedap-sedap, si kecil akan menolak ke tepi dan tetap berkeras enggan memakannya. Jika menjamah pun hanya sedikit manakala selebihnya dibuang begitu saja.
Keadaan itu sudah tentu akan membuatkan ibu bapa pening kepala atau mungkin juga boleh timbul perasaan marah setiap kali berdepan dengan ragam si anak, terutama selepas bersusah payah menyediakan makanan itu.
Penulis buku Hidangan Si Cilik, Hafiza Abdul Rahman, berkata masalah itu sebenarnya boleh ditangani dengan bijak dan toleransi antara ibu bapa serta anak.

Hafiza berpendapat, bagi mengatasi sikap cerewet si kecil, sewajarnya amalan pemakanan mereka dididik seawal usia. Tiada jalan singkat untuk mengasuh anak, malah setiap langkah dan perhatian yang diberikan pada si kecil bagi setiap hari dalam penyediaan menu sihat, sebenarnya dapat membantu dalam menerapkan cara pemakanan sihat untuk seumur hidup anak.

Katanya, bagi mengelakkan ‘pergolakan’ sewaktu sesi makan bersama si kecil yang memilih makanan, beberapa perkara boleh dijadikan panduan oleh ibu bapa. Pertama, perbaiki cara pemakanan si kecil tanpa paksaan.

“Anak cilik sering kali akan meminta makanan apabila lapar. Justeru, jika anak tidak lapar jangan paksa mereka untuk makan atau memberikan mereka pemberian sagu hati berupa makanan ringan atau hadiah snek jika si kecil dapat menghabiskan makanan dalam pinggan. Jika berbuat demikian, ia akan hanya menambah masalah dalam mendidik pemakanan sihat pada si kecil,” kata Hafiza.
Katanya, ibu bapa juga boleh menerapkan rutin harian dan ikut jadual makan. Hidangkan menu makanan sihat dalam jumlah kadar yang sesuai untuk si kecil pada waktu yang sama, setiap hari.

Satu tanda baik jika si kecil dilatih sebegini, setiap kali berasa lapar mereka akan segera menghampiri meja makan dan jus buah-buahan atau susu soya boleh diberikan padanya seawal satu jam sebelum si kecil menikmati hidangan utama.

Hafiza menegaskan, tidak kira bagaimana sibuk pun, ibu bapa seharusnya sabar apabila memperkenalkan menu baru. Bahkan, sudah menjadi inti pati si kecil untuk meneroka setiap segi kehidupan, termasuk dunia makanan. Kebiasaannya si kecil akan memegang dan menghidu makanan yang baru diperkenalkan pada mereka, menjamah sedikit dan kadangkala meluahkan kembali makanan itu.

“Perkara ini akan berlaku berulang-kali sehingga mereka benar-benar makan dengan perasaan teruja. Apa yang biasa saya lakukan ialah sebelum memberikan makanan baru, saya mengambil inisiatif untuk membacakan buku cerita berkaitan makanan baru itu dalam kaedah yang menyenangkan sebagai seorang rakan baik buat anak kecil.

“Saya juga akan mendorong mereka untuk bercerita berkenaan warna, bentuk, aroma dan tekstur makanan itu,” katanya berkongsi teknik yang digunakan bagi memenangi hati anak setiap kali waktu makan.

Selain itu, katanya, ibu bapa perlu memberi galakan kepada anak dalam menghargai makanan. Didik anak untuk berdoa sebelum dan sesudah makan serta sentiasa bersyukur dengan anugerah Allah.

Ibu bapa juga mungkin boleh bercerita pada si kecil betapa bertuahnya mereka setiap hari kerana memiliki makanan untuk dipilih berbanding insan lain. Ini dapat mencetuskan perasaan kasih sayang pada diri si kecil dan mereka akan senang untuk berkongsi makanan bersama keluarga dan insan yang memerlukan.

“Anak zaman sekarang boleh dikatakan mewah dan mudah serta bila-bila masa saja boleh mendapat makanan. Sama ada yang dimasak ibu bapa atau dibeli saja di mana-mana kedai atau restoran. Kesenangan yang dikecapi itu menyebabkan anak langsung tidak berpeluang melihat kesusahan bagaimana sukarnya untuk mendapatkan sesuatu makanan itu.

“Kadang-kadang inilah juga menyebabkan makanan itu tidak dihargai anak. Untuk itu, suntik cerita yang boleh memberi keinsafan dan kesedaran kepada anak supaya sentiasa bersyukur dengan rezeki yang ada di depan mata. Berikan juga pelukan erat, ciuman mesra dan kata-kata perangsang setiap kali si kecil berjaya menghabiskan makanan,” katanya.

Tambah Hafiza lagi, ibu bapa boleh mewujudkan setiap masa makanan adalah detik terindah dan menggembirakan buat si anak. Ada pelbagai cara boleh dilakukan antaranya ialah menyediakan beberapa pilihan hidangan yang dimasak dengan aneka cara, menyajikan makanan yang dipotong dengan cara unik dan kreatif serta menarik minat anak untuk menikmati dan sebagainya.

Pada masa sama, ibu bapa boleh mendidik anak untuk rajin membantu setiap kali menyediakan makanan. Minta pertolongan anak untuk bantu memilih buah-buahan, sayur-sayuran dan bahan makanan sihat yang lain sewaktu berkunjung ke kedai bahan makanan atau pasar raya.

Galakkan juga si kecil untuk membantu anda di dapur dalam sesi memasak, contohnya, membersihkan sayuran, mengacau adunan, menguli tepung ataupun menyediakan persiapan meja makan.

“Jika dari peringkat awal anak sudah mula membantu termasuk memilih bahan-bahan yang ingin dimasak hingga memasak dan menyediakan di meja, anak pasti akan berasa teruja untuk mengetahui apakah hasil dan kesudahan daripada titik peluhnya,” katanya.

Hafizah juga menyarankan, ibu bapa supaya menjadi contoh dan model kepada anak. Lazimnya, anak akan mudah mengikut corak pemakanan yang dilihat jika ibu bapa sendiri yang menjadi contoh terbaik buat mereka.
Antara ‘pantang larang’ ketika mengadap rezeki, elakkan gangguan sewaktu makan. Ini kerana waktu makan bersama keluarga perlu diterbitkan dengan aura positif, ceria dan tenang. Oleh itu, televisyen perlu ditutup, buku dan mainan tidak boleh diletakkan di meja makan serta elakkan konflik keluarga sewaktu sesi makan.

INFO: Perilaku si kecil yang cerewet memilih (bagi anak berusia 2 tahun hingga 6 tahun)

  • Tidak menjamah makanan yang cukup.
  • Amat cerewet dalam memilih makanan dan tidak mahu makan bila waktu makan tiba.
  • Hanya gemar makan makanan ringan sepanjang hari berbanding makanan utama.
  • Waktu makan bersama keluarga selalu berakhir dengan amukan si kecil.

——————————————————–